Tuesday, October 21, 2008

RAJA PISANG

Roslan adalah penjual pisang yang paling terkenal di Pasar Tamu Kampong Kianggeh. Namanya juga sudah sinonim dengan pisang.  Apabila disebut saja perkataan ‘pisang’, orang ramai akan teringat secara spontan pada ‘Roslan’. Begitu juga jika disebut ‘Roslan’, orang akan terkenang dan terbayang-bayang kepada ‘pisang’. Hanya yang mustahilnya ialah ‘Roslan’ tidak boleh bertukar menjadi ‘pisang’ dan ‘pisang’ pula tidak mungkin boleh menjelma menjadi ‘Roslan’!!

 

Dan tentunya tidaklah menjadi kesalahan di bawah sebarang undang-undang mana pun di dunia ini, jika ada orang yang menyebut ‘Roslan Pisang’ atau ‘Pisang Roslan’.

 

Mutu pisang yang dijual Roslan memang telah diakui oleh para pembeli kerana Roslan hanya akan menawarkan pisang-pisang yang segar dan sesuai untuk dimakan, direbus atau dibuat kueh.

 

‘Pisang Roslan bagus!’

 

‘Kalau mau cari pisang, cari Roslan! Pisangnya segar ada kelas!’

 

Sering kita dengar komen-komen positif seperti ini yang sudah pasti akan menambah laris lagi jualan pisang Roslan. Dan nama Roslan pun semakin dikenal ramai. Apabila Roslan terkenal bererti pisang juga turut tumpang sekaki. Ini juga bermakna, Roslan terkenal kerana pisang dan pisang glamor kerana Roslan.   

 

‘Pisang Roslan? Roslan Pisang? Eh..eh..eh..sedap? Pisang Roslan sedap? Aku mau makan pisang Roslan!!!Eh!!!pisang Roslan!!!Jangan kacau!!!Aku mau makan pisang Roslan’ Kadang-kadang ada juga wanita-wanita separuh umor yang melatah dengan meminjam nama Roslan dan pisangnya.

 

Kompromi dan hubungkait yang mesra dan rapat antara Roslan dengan pisang telah membuahkan sesuatu hasil yang positif bagi kepentingan dua hala. Roslan dengan gigih dan penuh iltizam berjaya menjual pelbagai jenis pisang bertongkang-tongkang banyaknya sambil mengaut untung beratus ribu ringgit selama ini.

 

Dengan kegigihan Roslan itu, pisang pula menjadi semakin popular sebagai makanan rakyat di semua peringkat. Orang kaya sukakan pisang. Orang miskin pun sukakan pisang. Dato’-Dato’ suka makan pisang. Datin-Datin pun suka makan pisang. Tauke-tauke suka jual pisang. Nyonya-nyonya pun suka beli pisang.

 

Masyarakat pisang amat berterima kasih kapada Roslan kerana telah menjadikan mereka salah satu spesis buah yang digemari.

 

Khabarnya Roslan pernah bercerita bahawa pada suatu malam, Permaisuri Pisang telah menemuinya di dalam mimpi dan di kala itulah Permaisuri itu menyampaikan penghargaannya kapada Roslan yang telah berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dalam mempopularkan pelbagai jenis pisang kapada orang ramai.

 

‘Hai Awang Roslan….aku bernama Dayang Hajah Pisang dan aku adalah Permaisuri Pisang.’ Wanita cantik itu mengenalkan dirinya sambil menunjukkan sekeping surat lantikan resmi sebagai Permaisuri Pisang yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Pisang dan Setiausaha Agungnya. Roslan dengan jelas dapat melihat bahawa lantikan itu ditulis dengan tinta emas di atas daun pisang yang ada jenama. Besar kemungkin daun Pisang Raja atau Pisang Tanduk dan tentunya tidak mungkin dari daun Pisang Awak!!

 

‘Adakah Dayang Hajah ini bersaudara dengan Puteri Bukit Tempayan Pisang yang satu ketika dulu merupakan siri sendiwara radio yang popular pada awal tahun 70an itu?’ Roslan ingin tahu.

 

‘Eh…jangan sebut nama dia lagi!!!!!’ terkejut Roslan bila suara Permaisuri Pisang meniti nada yang tinggi.

 

‘Maafkan saya Dayang Hajah Pasang. Eh!!!Pisang.’ Roslan menggeletar panik.

 

‘Memang dia saudara sepupuku. Tapi aku benci padanya!!!’ Roslan memilih diam.

 

‘Kerana dalam diam-diam,…dia ada affair dengan my hubby!!!’Dayang Hajah Pisang nampak tersinggung.

 

Roslan sempat melihat dengan jelas wajah Dayang Hajah Pisang yang mengakui dirinya sebagai Permaisuri Pisang itu. Dia memakai baju kebaya berwarna putih yang bersulam dengan ukiran daun pisang dan buah-buah pisang yang berjuntaian. Mukanya yang bujur sirih ada imbasan Catherine Zeta-Jones.

 

Potongan bajunya yang skin-fit dan dibuat pula dari kain yang lembut itu, jelas mempamirkan susuk badannya yang langsing dan mencabar lelaki sehat seperti Roslan. Buah dadanya yang nampak ranum dan agresif menolak baju kebaya nipisnya kira-kira dua-belas sentimeter ke hadapan, dan bentuk dua bukit yang kemas tanpa suntikan silicon itu, hampir saja membuat Roslan terjaga dan melompat dari tidornya kerana terperanjat menyaksikan aksoseri yang segar dan mesra-pandangan itu.  

 

Di atas kepala Dayang Hajah Pisang terletak sebuah tiara yang bertatahkan permata-permata yang berkilauan. Permata-permata itu juga disusun dengan rekabentuk daun pisang dan buah-buahnya yang tegak menghala ke atas.

 

‘Aku datang hendak menyampaikan rasa terima kasih kami kapadamu.’ Mata dan mulut Roslan sama-sama ternganga melihat lembaga yang berkulit lembut putih kekuningan itu. Air liur basinya meleleh di atas kain kemban isterinya yang sedang lena.

 

‘Jagalah pisang-pisang itu baik-baik.’ Suaranya lembut dan lantang. Matanya tajam menusuk ke jantung Roslan. Keharuman badannya menghuruharakan iman lelaki normal.

 

‘Selagi kau mempunyai hati yang baik, senyum yang manis dan pisang yang segar, perniagaanmu akan tetap maju dan menguntungkan.’ Mata Roslan terpaku memandang tepat pada mulut Dayang Hajah Pisang yang berbibir tebal dan seksi seperti bibir aktris Angelina Jolie itu.

 

Bila Permaisuri Pisang itu tidak memandang kapadanya, mata Roslan yang siap siaga untuk menerkam itu, terus mendakap ke bahagian baju kebaya yang menjadi mangsa tolakan buah dada Dayang Hajjah Pisang yang nakal dan menggoda itu.

 

Ada satu lagi pesanku pada mu’ Dayang Hajah Pisang semakin dekat dengan Roslan. Roslan merasakan ‘harimau peliharaannya’ tercabar!!!

 

‘Di halaman rumahmu dekat jendela sebelah kanan, ada se pohon Pisang Awak. Hendaklah kau jaga pisang itu baik-baik kerana pisang itu merupakan mascot perniagaanmu.’

 

‘Bila ia berbuah, jangan kau berikan pisang itu kapada sesiapa pun.’

 

‘Ingat…ia adalah hak milik isterimu.’

 

‘Isterimu saja yang berhak memegang dan memakannya’

 

‘Jika kau berikan pisang itu kapada orang lain, pasti akan terjadi pertelengkahan dalam keluargamu.’

 

‘Dan perniagaanmu juga akan turut merosot!!!’

 

Sebelum menghilangkan dirinya, Dayang Hajah Pisang sempat menyapu kepala Roslan dengan tangannya yang harum dan lembut selembut daun pisang ketika ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

 

…‘Alangkah baiknya jika aku sempat dipeluk dan seterusnya di apa-apakan oleh Permaisuri itu,’ fikir Roslan sebaik saja ia terjaga dari mimpinya. Dia merasa kerugian yang amat sangat kerana ditinggalkan oleh Dayang Hajah Pisang dengan begitu saja. Kejam!!!Sungguh kejam!!!

 

Mengapa mimpi itu tidak dibuat secara bersiri seperti episod Pangako Sayo, Astana Idaman, Tali Kasih atau Sangivani? Atau sekurang-kurangnya mengapa tidak diteruskan satu atau dua jam lagi? Kejam!!!Sungguh kejam sekali!!!

 

Mimpi yang aneh bin ganjil bin semi-porno itu dijadikannya sebagai pemangkin perniagaannya dan pesan Permaisuri Pisang itu sentiasa tersemat dalam ingatannya. Bahkah Roslan telah meminta salah seorang dari anaknya supaya mensave kata-kata Dayang Hajah Pisang itu dalam word document!!

 

‘Selagi kau mempunyai hati yang baik, senyum yang manis dan pisang yang segar, perniagaanmu akan tetap maju dan menguntungkan.’ Kata-kata sakti itu sentiasa berbisik dalam telinganya. Usapan tangan lembut Dayang Hajah Pisang  masih terasa hangat diatas kepalanya!!!

 

Justeru itulah Roslan sentiasa berusaha memelihara hatinya supaya bersih dari sifat-sifat keji seperti iri hati, buruk sangka, dendam kesumat, cepat marah dan sebagainya. Dia juga sentiasa murah dengan senyuman meskipun dia tahu kadang-kadang di giginya mungkin masih melekat bekas pisang yang baru dimakannya. Dia juga sentiasa mempastikan supaya pisang-pisangnya berada dalam keadaan segar. Pisang yang kurang segar akan dibuangnya kerana dia tidak mahu dikatakan menipu dalam berniaga.

 

Roslan gembira dengan perniagaan kecilnya. Dia tidak pernah berniat untuk menjalankan perniagaan lain selain dari menjual pisang. Di matanya hanya pisang. Di kepalanya hanya pisang. Di hatinya hanya pisang. Dalam saku seluarnya pun selalu ada pisang.

 

Pisang telah menjadi sebahagian dari hidupnya. Bahkan berkat menjual pisanglah dia berjaya menghantar dua orang anak lelakinya – Muhd Rosli dan Muhd Nazri ke Kuala Lumpur masing-masing untuk meneruskan pelajaran mereka dalam bidang Sains Politik dan Higher National Diploma dalam Multi Media.

 

Kedua anaknya itu telah berazam untuk membabitkan diri dalam perniagaan sekembali mereka dari seberang laut nanti. Mereka begitu kagum dengan kegigihan ayah mereka, meskipun hanya berkelulusan Tingkatan Lima tetapi mampu berdikari dan berjaya pula memberikan mereka pelajaran untuk bekalan hidup mereka di masa hadapan.

 

Jika awda hendak membeli pisang, pergi saja ke gerai Roslan. Di sana awda akan dapati pelbagai jenis pisang, samada yang masak, yang hendak masak, yang terover masak,  mau pun yang tidak mau masak langsung. Pilih saja mana satu pisang yang awda gemari. Harganya juga lebih murah berbanding dengan pisang yang didapati dari gerai-gerai lain yang ada di Pasar Tamu Kampong Kianggeh itu.

 

Pisang Emas. Pisang Berangan. Pisang Keling (Oppss!!Sori..sori..sori!!! Pisang Rastali). Bermacam-macam jenis pisang yang dijualnya setiap hari dan itulah sumber mata pencariannya sejak ia berumur dua-puluh satu tahun.

 

Pisang Sabah. Pisang Raja. Pisang Kapas. Pisang Daun. Pisang Penawar. Pisang Tanduk dan Pisang Pisang.  Sebut saja jenis pisang yang awda mahu, pasti ada di gerainya itu. Di antara pisang-pisang yang ada di dunia ini, mungkin hanya satu jenis pisang saja yang tidak ada di gerai Roslan. Pisang plastik laa!!!

 

Ada pisang yang besar kental. Ada pisang yang pendek gemuk. Ada pisang yang panjang kurus. Panjang gemuk pun ada. Yang pendek kurus pun ada juga. Semua sais pisang ada dijualnya.

 

Ada pisang yang bentuknya panjang dan runcing seperti keris tidak berlekuk. Ada pula pisang yang berbentuk bulat, pendek dan tupap. Ada pisang yang kecil tapi manis dan sedap dimakan. Ada pisang leper, keras dan sedap digoreng. Ada yang kecil tetapi sedap dikunyah. Pisang Tanduk yang besar itu, tentu sukar untuk dimasukkan ke mulut tanpa dipotong terlebih dulu!!!

 

Ada pisang yang sedap untuk dicucur. Ada pisang yang hanya sesuai dibuat ulam. Ada juga yang enak dibuat gulai. Ada pisang yang khusus digunakan sebagai dessert. Dan ada juga pisang yang sesuai untuk dijadikan makanan burung.

 

Sebut saja Roslan Pisang, semua peniaga di Pasar Tamu itu akan mengenalinya. Umurnya baru memasuki awal lima-puluhan. Berbadan sederhana, berkulit hitam manis dan matanya tajam. Rambutnya digunting pendek macam rambut rekrut askar yang sedang menjalani latihan di Kem Penanjung Garrison.

 

Semasa mudanya, rambutnya panjang mencecah bahu. Kasutnya boot tumit tinggi. Dia adalah salah seorang peminat setia artis-artis enam-puluhan. Hingga sekarang, lagu-lagu Jefridin, A.Ramlie, A.Romzie, J.Sham, M. Ishak dan Zam Zam masih menjadi kegemarannya. Ada orang yang mengatakan suaranya yang serak-serak basah itu, hampir menyamai suara Rod Steward atau Ramli Sarip!!!!(Puiii!!!!)

 

Salah satu sifat yang memikat orang menjadi pelangganya ialah sikapnya yang mudah tersenyum. Roslan amat pemurah dengan senyuman. Dia mudah tersenyum dan begitu mudah pula dia membalas senyuman orang yang senyum padanya terutama senyuman dari jenis yang tidak sewaktu dengannya.

 

Bagi mempastikan supaya senyumannya sentiasa nampak segar dan menyegarkan, hampir setiap hari, dia meluangkan masa selama beberapa minit selepas solat subuh di depan cermin, menguntum senyum dari pelbagai sudut. Dia mencoba senyum sambil berdiri, sambil duduk, sambil baring dan sambil berpeluk tubuh. Dia juga berlatih senyum sambil bercakap, sambil minum, sambil makan, sambil batuk dan sambil menyuapkan pisang ke mulutnya. Dia juga sering berlatih senyum sambil menyanyi dan menari. Tapi yang paling sukar untuk dipraktikkannya ialah senyum sambil marah pada isteri dan anak-anaknya!!

 

Untuk memantapkan lagi kemanisan senyumamnya, Roslan sering menatap gambar pelakon-pelakon dan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Norman Hakim, Rosyam Nor, Duta, Brad Pitt, Tom Cruise dan lain-lain lagi. Dia coba meniru cara bintang-bintang terkenal itu tersenyum.  Cek punya cek, pilih punya pilih, akhirnya dia mengambil keputusan bahawa senyuman yang paling manis dimiliki oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Tempat kedua dimenangi oleh Abdullah Chik dan tempat ketiga jatuh kapada Norman Hakim. Tiga hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Tom Cruise, Brad Pitt dan Mel Gibson!!!

 

Roslan percaya pada latihan, kesabaran dan kegigihan. Justeru itu, setelah berlatih teknik senyum secara intensif selama bertahun-tahun, dia telah dapat meningkatkan prestasi senyumannya dari masa ke semasa. Dia percaya, kiranya terdapat acara ‘Senyum 24 jam’ di Sukan SEA, pasti dia akan terpilih untuk mewakili negara ini.

 

Dia akan senyum kapada orang yang lalu lalang di hadapan gerainya. Samada membeli pisangnya atau tidak, ia tetap akan menghadiahkan senyum manisnya yang melambangkan sikap peramah dan mesra alamnya itu. Bila dia tersenyum, nampaklah giginya yang separuh asli dan separuh tulin. Ada kalanya dia tinggalkan gigi palsunya berendam dalam gelas yang berisi colgate di rumah. Justeru bertambah manis lagilah renjisan senyumannya. Dan dia tidak hirau sedikit pun jika ada pelanggan yang sempat melihat sisa-sisa pisang yang masih degil melekat di celah-celah giginya itu.

 

‘Beli pisang, Boss?’ dia selalu membahasakan pelanggan lelakinya dengan panggilan ‘Boss’.

 

‘Ini pisang bagus, Boss.’

 

‘Yang ini isinya sedap, Boss.’

 

‘Boss, ini sedap digoreng, Boss.’

 

‘Ini pisang baru, Boss. Isinya lembut,Boss.’

 

‘Coba Boss try rasa pisang ini. Sedap, Boss.’

 

Kadang-kadang orang Cina akan dipanggilnya dengan gelaran tauke.

 

‘Tauke, hah…ini pisang gerenti best punya, Tauke.’

 

‘Hayya, Tauke….ini pisang tidak boleh lawan punya. Tauke try..sedap kan?’

 

‘Tauke mau pisang nombor satu punya? Hah..ini dia!’

 

 

Dan dia lebih bersemangat jika melayan pelanggan wanita.

 

‘Mau pisang, Dayang? Mau yang besar atau yang kecil?’

 

‘Pisang besar pun sedap. Pisang kecil pun sedap juga.’

 

‘Pisang Sabah? Ini yang sedap dicucur.’

 

‘Ah..ini Pisang Raja. O..sedap..sedap.’

 

Pada hari Jumaat dan Ahad, Roslan akan dibantu oleh isterinya kerana pada hari-hari tersebut, gerai mereka akan dikunjungi oleh lebih ramai pengunjung berbanding dengan hari-hari yang lain.

 

Roslan akan bertugas sebagai Deejay, menghebah-hebohkan pisangnya dan isterinya akan membantunya memasukkan pisang kedalam kantung plastik. Ada orang yang datang hendak membeli pisang Roslan dan ada pula orang yang datang untuk mendengar dan menyaksikan gaya Roslan mempromosi pisangnya.

 

‘Mari…mari….pisang..pisang..’

 

‘Hah…sini Boss,…sini Boss. Pisang, Boss!’

 

Bila dia menyebut ‘Pisang Boss!’ itulah banyak orang yang lalu lalang tersenyum simpul.

 

Telatah Roslan memang lucu hingga ada pelanggan yang membeli pisangnya (jika hendak disalahertikan, silakan!) hanya kerana ingin melihat gelagatnya yang menggelikan hati itu.

 

‘Silakan Pak Haji, banyak pisang yang baru sampai. Pisang baru…Pisang baru!!!’

 

Ada juga ketikanya dia tidak dapat mengawal celotehnya sehingga meleret-leret. Namun pasti akan mencuit hati para pelanggannya.

 

‘Pisang keras!!! Siapa mahu pisang keras? Sini ada jual pisang keras!!!’

 

‘Pisang ini masih muda. Tapi sedap. Dua hari lagi boleh makan.’

 

‘Kalau mahu pisang yang panjang atau yang pendek, semuanya ada di sini.’

 

‘Pisang..pisang..pisang..siapa mahu beli pisang?’

 

‘Pisang gemuk, pisang kurus, pisang keras, pisang pejal dan kental!!’

 

Masa mula-mula menjual pisang, Roslan agak gugup bila berinteraksi dengan pelanggan wanita. Apa lagi jika yang mendekati gerainya itu terdiri dari wanita-wanita muda dan seksi. Semakin susahlah mulutnya hendak terbuka. Macam ada cello-tape atau super glue yang melekat di bibirnya.

 

‘Pisang Awak ade tak?’ tanya seorang wanita dalam usia di awal empat-puluhan dengan pelat warga Malaysia Semananjung.

 

‘Aaa..ada.’ gugupnya tidak dapat disembunyikan.

 

‘Eh..kenape gugup sangat ni?’ wanita tu mengusik. ‘Saya nak Pisang Awak yang ni. Bukan yang awak punya tu!!!!’ Merah padam muka Roslan mendengar usikan wanita itu.

 

 

Pisang yang masak selalunya berwarna kuning. Tapi Pisang Daun akan terus berwarna hijau walaupun sudah terover masak. Ketika mentah ia hijau dan keras. Apabila sudah masak atau terover masak, ia akan terus mempertahankan kehijauannya  namun isinya akan berubah menjadi lembut dan enak apabila dimasukkan ke dalam mulut.

 

Paling murah ialah Pisang Pisang yang sesuai untuk makanan Burung Tiong dan Kakak Tua. Maaf!!!!monyet - nenek moyang Charles Darwin dan suku sakatnya juga gemar memakan pisang!!

 

Roslan boleh dikategorikan sebagai seorang peniaga yang pemurah dan sentiasa bersedia menghulurkan sedekah atau derma bila diperlukan. Setiap malam Jumaat, dia akan memberikan setandan dua dari pisangnya ke masjid atau surau. Dia gembira bila pisangnya dimakan oleh imam, bilal, marbut dan jemaah masjid. Dia percaya meskipun nilai sedekahnya di mata manusia tidak seberapa, namun ia berbuat demikian dengan perasaan yang ikhlas dan sebagai tanda syukurnya kapada Allah swt. di atas limpahan nikmat yang diterimanya.

 

Pernah wakil dari sebuah Jawatankuasa Takmir Masjid datang ke rumahnya untuk memuhun sumbangan bagi membeli sebuah kereta jenazah. Setelah mendengar taklimat dari wakil Jawatankuasa Takmir itu, Roslan bergegas ke dalam biliknya. Kira-kira sepuluh minit selepas itu, dia keluar dengan menyerahkan wang sebanyak lima ribu ringgit sebagai sumbangannya sekeluarga. Wakil Jawatankuasa itu terkilan bila mendapati betapa pemurahnya seorang peniaga kecil seperti Roslan.

 

Roslan percaya bahawa sedekah tidak akan membuat seorang itu miskin. Malahan ia akan berfungsi sebagai pembawa rezeki.

 

‘Breaking News’ mengenai Roslan ialah permohonannya untuk memajukan tanah di Kampong Jerudong yang dibelinya lima tahun yang lalu dari hasil titik peluhnya menjual pisang telah diluluskan oleh Pehak Berkuasa Kawalan Kemajuan. Di atas tanah seluas tiga hekter itu akan didirikan sebuah bangunan enam tingkat yang mengandungi kompleks membelibelah, pasar raya, medan selera, kedai buku, gym, butik, dewan serbaguna, surau dan pawagam. Roslan sekeluarga telah sepakat untuk menamakan bangunan itu dengan nama ‘Bangunan Raja Pisang.’

 

26.5.03

No comments: